Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat terus mempertahankan komponen Pakatan Harapan termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang bekerjasama dengan DAP.
Presiden MUDA itu menerusi akaun Twitternya, pada Sabtu menangkis dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menyifatkan parti baharu itu digelar sebagai boneka DAP.
Malah, beliau pernah menafikan tuduhan bahawa PH dan pemimpin Melayu menjadi boneka dan kuda tunggangan DAP kerana mendakwa BN takut menipu rakyat dengan isu perkauman dan bimbang diheret ke mahkamah, pada 2019.
Bermula sebagai pengasas sayap BERSATU iaitu Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Ahli Parlimen Muar itu kemudian menjadi menteri termuda dalam kabinet Pakatan Harapan (PH) 2018 sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Namun dipercayai beliau dipaksa keluar dari BERSATU pada 2020 dan kini menubuhkan MUDA pada 2021, dan masih kekal penafiannya dengan mempertahankan DAP.
Syed Saddiq dalam hantaran video di laman sosial itu berkata meskipun berbeza pendapat namun sebagai anak muda, beliau menghormati Abdul Hadi sebagai individu yang dipanggilnya ‘tok guru’ itu kerana sangat berpengalaman dalam politik.
Beliau berkata, MUDA diasaskan untuk membina Malaysia maju, bermaruah dan berintegriti di samping membawa politik yang matang.
“Sebab itu apabila saya berkhidmat dulu dalam kabinet, saya memperjuangkan hak negeri pembangkang di Kelantan dan Terengganu untuk dapat peruntukan khas walaupun bawah pentadbiran pembangkang
“Sebagai Menteri Belia Sukan, pertama kali dalam sejarah Malaysia, kita mengembalikan semula hak penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) kepada negeri Kelantan dengan peruntukan lebih RM200 juta walaupun negeri pembangkang. Itulah politik matang.
“Dalam MUDA, kita gunakan prinsip sama. Hormat kawan, hormat lawan. Keutamaan kepada Malaysia, negara tercinta. Jangan hanya kerana kami muda, kami dilabel sebagai boneka,” katanya.
Beliau mengulas mengenai tindakan Abdul Hadi yang menyifatkan MUDA sebagai ciptaan DAP yang bertujuan untuk mengumpan belia Melayu.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq menegaskan, MUDA komited untuk belajar dan berkhidmat membantu seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
Jadi, penulis tertanya, berkali-kali mempertahankan DAP, apakah bukti bukan boneka DAP itu?