Oleh Fhatihah Zakinan
JOHOR BAHRU : BN bermatlamat membawa kembali kestabilan kerajaan Johor sebagai peneraju utama negara dengan memastikan mendapat kembali mandat dan keyakinan daripada rakyat melalui Pilihan Raya Negeri (PRN).
Perangai pemimpin lawan yang semakin menjadi-jadi sepanjang tempoh 22 bulan memerintah di bawah kerajaan gagal dan 17 bulan di bawah Perikatan Nasional (PN) yang tidak berbuat apa-apa tetapi mengurung rakyat paling lama menyebabkan ketidakstabilan, membuat rakyat muak, malah masyarakat antarabangsa turut kesal.
Sepanjang tempoh singkat berkenaan, ekonomi negara merudum teruk, bermusuh dengan pihak yang ada hubungan baik dengan negara, selain janji hanya tinggal janji berbanding 62 tahun di bawah BN.
Oleh sebab itu, Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengarah PRN Johor, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata kemakmuran dan kemajuan hanya dapat dicapai melalui kerajaan yang stabil dalam segala aspek.
Justeru, tegasnya, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad terpaksa menasihatkan Sultan Johor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar PRN diadakan kerana dengan kelebihan satu undi sahaja beliau tidak dapat melaksanakan pentadbiran dengan lancar.
“Sampai bila nak ada kerajaan yang sebegini, yang sentiasa sahaja diancam, diugut kalau tak beri apa yang dia nak maka dia tak akan sokong… kerajaan begini tak dapat menumpukan untuk mentadbir apatah lagi untuk membangunkan ekonomi negeri dan rakyat.
“Itu sebab, niat BN adalah untuk membawa kestabilan, maka pada 26hb nanti penamaan calon dan pada 12 Mac hari pengundian, kita pulangkan semula mandat kepada rakyat kerana kita tak mahu dalam keadaan begini iaitu kerajaan yang tidak ada mandat daripada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Taklimat dan Penyerahan Negeri Angkat Jentera BN di Pusat Operasi Zon Selatan, di sini, malam tadi.
Katanya, kestabilan Johor sebagai penanda aras kestabilan negara sekali gus boleh menjadi contoh kepada negeri lain dan meyakinkan masyarakat antarabangsa.
Mohamad bagaimanapun optimis berasaskan kepada pola pengundian sedia ada ketika ini, rakyat sudah muak dengan perangai pemimpin lawan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu menyelar kepimpinan PH yang membuatkan ekonomi negara merudum, tidak mempunyai langsung rasa hormat kepada usaha kerajaan terdahulu dan perjanjian ditandatangani oleh kerajaan BN termasuk peringkat antarabangsa.
Jelasnya, masyarakat antarabangsa turut kesal, perjanjian terpaksa dibatalkan begitu sahaja, pemimpin lawan membuat musuh dengan negara yang mempunyai hubungan baik dengan Malaysia malah harga sawit menjunam jatuh
“Dulu kata kamilah (lawan) yang terbaik sekali, kami boleh buat macam-macam, janji seribu janji… kalau saya menang tol akan dihapuskan di Simpang Renggam esok pagi, tapi ada sampai sekarang.
“Jangan percaya dengan janji-janji itu. Janji mereka tetap janji, seribu kali janji tapi tak ada yang mereka lakukan selama 22 bulan mentadbir malah ekonomi negara menjunam jatuh. Bayangkan kalau mereka mentadbir negara selama satu penggal.
“Hari ini rakyat dah mula dapat bezakan. 62 tahun di bawah BN berbanding 22 bulan di bawah kerajaan gagal dan 17 bulan di bawah PN yang tak buat apa-apa tetapi mengurung rakyat paling lama,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan untuk anggota jentera bekerja keras dan tidak mengulangi sebarang kesilapan dalam PRU lalu.
“Nak menang, kita pastikan ia parti kita, nak menang susun jentera baik-baik kerana jentera yang tersusun akan dapat hasil yang baik. Kita ada pengundi dan kita nak lihat negeri ini ditadbir semula oleh BN selepas PRN ini.
“Jadi pada PRN ini jentera perlu yakinkan kepada rakyat bahawa jika hendakkan kemakmuran untuk sebuah negara dan negeri yang stabil politiknya, maka pilihlah BN,” katanya.
Hadir sama merasmikan majlis, ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, presiden parti-parti komponen dan rakan gabungan, barisan kepimpinan peringkat pusat dan negeri serta jentera parti.