Oleh Nurman Nasriq
JOHOR BAHRU – Menjelang beberapa hari lagi penamaan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), khususnya di Pasir Gudang kian goyah?
Ini ekoran seramai 343 ahlinya mengumumkan keluar parti.
Bukan itu sahaja, mereka turut menyerahkan borang untuk menyertai parti terbesar orang Melayu, iaitu UMNO.
Borang keahlian diserahkan oleh bekas Ketua Cawangan BERSATU Tasek, Mohd. Nor Hamzah kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, malam tadi.
Keputusan kumpulan tersebut menyertai UMNO kerana yakin hanya parti itu dan komponen Barisan Nasional (BN) yang mampu membela kepentingan orang Melayu dan memberi kestabilan kepada negeri serta negara.
Sementara itu, Mohamed Khaled mengalu-alukan penyertaan bekas ahli BERSATU berkenaan yang pasti akan memperkukuh dan menambah kekuatan UMNO bahagian berkenaan.
“Mereka bertekad untuk membantu kemenangan BN di PRN Johor kali ini dan membuktikan bahawa PH (Pakatan Harapan) dan PN (Perikatan Nasional) adalah parti gagal,” katanya.