Oleh Fhatihah Zakinan
SHAH ALAM : “Saya nampak perkara ini sejak tahun lepas dan beberapa kali memberi amaran kepada kerajaan bahawa inflasi akan menjadi masalah besar (kepada negara)”, demikian kata mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Najib, menerusi hantaran Facebooknya, semalam, berkata beliau bukan sahaja bertegas memberi peringatan berulang malah membantu berkongsi langkah dan dasar proaktif dalam meredakan tekanan serta menstabilkan harga bagi tempoh jangka pendek terutama aspek inflasi makanan.
“Semalam, Amerika Syarikat (AS) umum kadar inflasi negara tersebut naik ke 7.5 peratus, kadar paling tinggi sejak 40 tahun lalu. Ini berikutan United Kingdom (UK) juga catat inflasi tertinggi sejak 30 tahun lalu.
“AS dan UK tidak ada UMNO mahupun Barisan Nasional (BN), jadi tak perlulah pihak sebelah sana nak buat propaganda bahawa harga akan naik bawah UMNO dan BN,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kadar inflasi dunia naik secara mendadak ekoran sekatan pergerakan atau ‘lockdown’ yang dilaksanakan di seluruh dunia susulan pandemik COVID-19.
“Kenapa inflasi dunia tiba-tiba naik bukan susah untuk faham. Lockdown yang dibuat seluruh dunia pada tahun 2020 dan 2021 telah halang pengeluaran bagi semua jenis komoditi.
“Akibatnya, stok bekalan dan stok turun. Apabila aktiviti ekonomi dibuka semula dan pengguna berebut-rebut membeli semula maka, permintaan naik mencanak,” katanya.
Najib berkata, memahami dasar asas ekonomi, permintaan yang meningkat ketika stok berkurangan menyebabkan harga barang naik dan inflasi mencanak.
“Walaupun kadar inflasi dan tekanan harga adalah masalah seluruh dunia, tidak bermakna kerajaan tidak boleh cari langkah kreatif bagi mengurangkan tekanan ekonomi tempatan,” katanya.