SHAH ALAM, 7 Feb – Ketua Armada Nasional Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berpandangan pihak institusi perbankan perlu lanjutkan moratorium atau hapuskan hutang rakyat yang terjejas sejak PKP dan bencana alam.
Cadangan itu sejajar dengan pemerhatiannya, yang melihat kemampuan bank masih mengaut keuntungan banyak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sejak fasa pertama Mac 2020.
“Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu ada instrumen kewangan yang lain untuk membantu rakyat yang terjejas khususnya program moratorium bank.
“Kita lihat bank masih buat untung banyak sepanjang PKP, tiada isu atau masalah untuk mereka lanjutkan hutang. Jadi perkara ini perlu penelitian rapi BNM dan MOF.
“Pihak BNM perlu melanjutkan program moratorium ini sampai rakyat kita benar-benar pulih dari ekonomi. Pulih dari ekonomi, dapat peluang kerja baharu barulah rakyat betul-betul boleh bernafas dalam keadaan runcing ketika ini,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke gereja terbakar di Kota Kemuning, Shah Alam pada empat hari lalu.
Walaupun tiada unsur jenayah atau kehilangan jiwa dilaporkan, namun insiden yang membabitkan Gereja Kota Kemuning Assemblies of God Church di tingkat atas bangunan rumah kedai dua tingkat itu mengundang simpati orang ramai.
Wan Ahmad Fayhsal yang juga merupakan Senator dan juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara berkata, kunjungan itu atas dasar keluarga muhibah masyarakat berbilang bangsa dan agama negara ini.
“Walau kita berbeza agama tetapi kita sudah hidup berpuluh tahun dalam suasana berbilang dan keharmonian ini perlu dikekalkan,” katanya.
Mengulas isu tuntutan RM10,000 KWSP, beliau menyatakan senada dengan prinsip kerajaan dan YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, KWSP bukan penyelesaian yang patut kita gunakan bagi membantu rakyat yang susah.
“Perlu adakan penyelesaian di luar kotak mengenai tuntutan RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain apa yang kita dengar dari Ketua Pemuda UMNO.
“EPF, KWSP bukan penyelesaian kepada masalah yang meruncing ketika ini.
“Tempoh pemulihan itu perlu penelitian kepada kabinet dan Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yaasin.
“Jika mereka peroleh data yang lengkap mungkin pihak BNM dan MOF boleh pertimbangkan,” katanya.