Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Desas-desus sebelum ini yang mengaitkan pemberhentian mengejut pemain badminton berusia 23 tahun, Lee Zii Jia daripada badan induk badminton negara, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dikaitkan dengan ‘keuntungan’ lebih jika bergerak sendiri hampir terbukti benar.
Ia berikutan, empat syarikat peralatan sukan gergasi dipercayai mengemukakan tawaran sebagai penaja kepada Lee Zii Jia selepas jaguh perseorangan negara itu memutuskan keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), baru-baru ini.
Zii Jia, 23, mengesahkan empat syarikat yang menawarkan kontrak lumayan terbabit ialah Victor syarikat dari Taiwan; Yonex (Jepun), Li Ning (China), dan Felet (Malaysia).
“Secara jujurnya, bukan saja Victor kerana selepas BAM memberi restu kepada saya untuk keluar, saya ada mendapat tawaran daripada Li Ning, Yonex dan Felet.
“Namun, semuanya masih dalam rundingan dan apabila semuanya sudah ‘confirm’ (sah), saya akan umumkan,” kata juara Seluruh England 2021 itu mengulas dakwaan tawaran berkenaan.
Pemain ranking ketujuh dunia itu sebelum ini dilaporkan menerima tawaran lumayan daripada sebuah syarikat peralatan sukan dari Taiwan dipercayai Victor yang didakwa menjadi faktor utama dia mahu meninggalkan BAM.
Zii Jia didakwa ditawarkan bayaran sebanyak AS$400,000 (RM1.674 juta) setahun bagi tempoh kontrak selama tujuh tahun dengan nilai keseluruhan sebanyak RM11.718 juta.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai bakal jurulatihnya, Zii Jia yang berasal dari Alor Setar berkata ia masih lagi dalam rundingan dan akan diputuskan dalam masa terdekat.
“Saya harap boleh bawa seluruh pasukan saya (jurulatih dan pasukan sokongan) apabila beraksi di Terbuka Jerman nanti (8 hingga 13 Mac 2022).
“Buat masa sekarang saya tidak boleh komen lagi mengenai siapa calon jurulatih kerana masih dalam rundingan, apabila selesai saya akan umumkan,” katanya.
Beliau turut menjadikan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2018, Liew Daren dan pemain Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) Soong Joo Ven sebagai rakan sepelatihnya.
Semalam, Wacanakini.com melaporkan, Zii Jia dijangka akan kembali kepada BAM untuk menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 pada 15 hingga 20 Februari 2022.
BATC 2022 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.
“Isu sudah selesai, BAM mahu melahirkan pemain yang lebih patriotik pada masa depan.
“Kami akan memastikan kontrak bersama pemain lebih tegas dan menjaga kepentingan bersama ,” menurut Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh kepada Wacanakini.com.
Mengulas lanjut, Kenny berkata, sekiranya Zii Jia bergerak sendiri, segala kos latihan tidak ditanggung BAM.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung isu adakah Zii Jia akan membayar sebarang pampasan berhubung pemberhentian mengejutnya itu.
Sumber memaklumkan Wacanakini.com, bayaran sebanyak RM300,000 itu diperlukan untuk membantu latihan pemain-pemain muda yang lain dalam memastikan kesinambungan kejayaan negara tidak terjejas.
Sebelum ini, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari lalu ekoran surat berhenti beliau.
Zii Jia kemudian mengemukakan surat rayuan kepada BAM supaya menarik semula keputusan untuk membenarkannya menyertai kejohanan antarabangsa.