spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

25,000 usahawan TEKUN disasar daftar PERKESO

- Advertisement -spot_img

JOHOR BAHRU: Seramai 25,000 usahawan TEKUN Nasional disasarkan mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Sasaran ini adalah di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menerusi Kempen Mencarum PERKESO Usahawan TEKUN yang dilancarkan hari ini.

Kempen yang mendapat kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, PERKESO dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi TEKUN Nasional, bermatlamat meningkatkan kesedaran golongan usahawan mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial, di samping menggalakkan mereka mencarum dengan PERKESO.

Kempen ini juga merupakan satu inisiatif proaktif untuk memastikan jaringan perlindungan keselamatan sosial diperluaskan kepada golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS), khususnya dalam kalangan usahawan di Malaysia.

Bagi memastikan golongan ini dilindungi dan menggalakkan mereka mendaftar dengan PERKESO, TEKUN Nasional akan menawarkan perkhidmatan pembiayaan caruman SKSPS menerusi skim pembiayaan yang dibuat oleh usahawan TEKUN.

Majlis pelancaran Kempen Mencarum PERKESO Usahawan TEKUN ini telah disempurnakan oleh YB Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC)

YB Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC)

Acara ini turut disaksikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) MEDAC, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Antarabangsa) KSM, A. Maniam.

Hadir sama, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif, TEKUN Nasional, Datuk Adam Abd Ghani dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed.

Dalam pada itu, Noh ketika ditemui berkata, “Sehingga kini seramai 16,830 orang usahawan TEKUN telah mencarum di bawah SKSPS.

“Justeru, kempen ini mendokong matlamat untuk menarik lebih ramai usahawan TEKUN untuk mencarum SKSPS.

“Saya juga berharap TEKUN Nasional dapat memikir dan mempertimbangkan bagaimana semua usahawan TEKUN dapat diwajibkan untuk mencarum dengan PERKESO sepanjang tempoh pembiayaan, pada masa akan datang.

Datuk Seri M.Saravanan

M. Saravanan pula berkata, “KSM menyambut baik dan menghargai sokongan yang dizahirkan oleh MEDAC menerusi TEKUN Nasional untuk mendaftar dan mencarumkan para usahawan mereka seperti pengusaha, penjaja dan peniaga kecil dengan SKSPS PERKESO.

“Saya juga yakin bahawa usaha untuk memberikan perlindungan sosial kepada mereka ini bukan sahaja akan disambut baik oleh para usahawan TEKUN, malah memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka serta insan yang mereka sayangi sentiasa terjaga dan terpelihara,” katanya.

Pada majlis yang sama, turut dianjurkan sesi taklimat khas mengenai SKSPS PERKESO kepada usahawan TEKUN, sesi penyerahan nota perlindungan PERKESO, penyampaian watikah pelantikan kepada TEKUN sebagai ejen dan pemberian tuntutan faedah PERKESO kepada pencarum OBS.

Berdasarkan statistik PERKESO sehingga 18 Februari 2022, seramai 360,469 atau kira-kira 15 peratus OBS di seluruh negara telah mencarum dengan SKSPS, daripada jumlah keseluruhan OBS di seluruh Malaysia iaitu kira-kira 2.38 juta.

Sementara itu, lebih RM6 juta telah dibayar oleh PERKESO kepada seramai 2,142 penerima faedah dalam kalangan OBS. Jumlah tersebut termasuk seramai 169 penerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang diterima oleh waris OBS bagi kes yang melibatkan kematian semasa menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri.

Sejak 1 Jun 2017, PERKESO menyediakan SKSPS untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

Antara manfaat perlindungan keselamatan sosial yang disediakan dalam SKSPS adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pinjaman Pendidikan dan Kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases