KUALA LUMPUR : Pegawai Tugas-tugas Khas 1 Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Mahadhir Sulaiman menyeru semua usahawan bangkit sebagai satu gabungan yang lebih kukuh agar suara mereka didengari.
Beliau turut menyampaikan mesej daripada Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKM) Kali Ke-22, di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mahadhir mengingatkan ada perkara yang perlu diperhalusi, difahami semula, kena muhasabah semula peranan, tanggungjawab masing-masing agar bukan sahaja saling membantu ahli gabungan tetapi impaknya kepada masyarakat dan negara.
“Kita mahu lihat kebangkitan gabungan ini dari yang baik kepada lebih baik, saling bantu membantu sesama bangsa untuk meningkat naik, keluar dari kepompong kesusahan, kemiskinan agar kesenangan itu dapat dirasai bersama,” katanya kepada Wacanakini.com
Mahadhir berkata demikian sebagai menyuntik semangat gabungan dan memanfaatkannya demi kepentingan bersama.
“Jika kita sebatang lidi tentulah mudah dipatah-patahkan, tetapi jika semua lidi bergabung sebagai satu ‘penyapu’ tidak bisa ia dipatahkan, malah semua kekotoran mampu dibersihkan tanpa tertinggal.
“Bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan bukan sahaja sebagai pemimpin tetapi sebagai anak, bapa, suami, rakyat dan apa sahaja amanah yang diletakkan di atas bahu kita.
“Contohnya, apabila timbul isu harga barang naik seperti gula baru naik 10 sen, jika ada rakan niaga, kita lihat menaikkan harga air minuman secara keterlaluan, adalah tanggungjawab kita menegur kerana kesannya bukan sahaja kepada pengguna tetapi terpalit kepada peniaga.
“Jika ada sesuatu isu penindasan hak dan sebagainya, gabungan ini perlu dilihat lebih ke depan.
“Sepatutnya gabungan ada banyak perjumpaan, penerangan, perjuangan selamatkan hak pengguna dan hak peniaga,” katanya.
Mahadhir juga menegaskan, NGO atau gabungan ini bukan sahaja atau hanya berfokus kepada pembelaan terhadap peniaga-peniaga Melayu. Bukan juga hanya memperjuangkan peniaga-peniaga atau usahawan baru dan muda .
“Tetapi gabungan ini perlu lebih kreatif serta berinovatif dalam menyediakan peluang yang baru dalam menyaingi perkara-perkara baru dalam dunia perniagaan,” katanya.
Beliau menambah, Dr Shahidan mengambil berat dan mengumumkan ada bantuan khusus untuk GPPPKM.
“Malah YB Menteri turut membayangkan akan beri kuota kepada gabungan ini bagi mengurus beberapa gerai Bazar Ramadhan dan meja di pasar borong.
“Dr Shahidan juga mengarahkan Yayasan Wilayah Persekutuan supaya membantu peniaga baru dengan bantuan modal RM500, dan pemberian 1,000 lesen niaga kepada remaja yang layak.
“Program Wilayah Bebas Berniaga juga dilanjutkan lesennya sehingga Jun ini, semua inisiatif berkenaan adalah bukti kesungguhan YB Menteri untuk membantu penjaja, peniaga di wilayah ini,” katanya.
Dalam pada itu AGM berjalan dengan lancar dan Presiden baharu gabungan adalah Datuk Mohamad@Joe Abdullah yang menang tanpa bertanding.
Mohamad ketika ditanya mengenai visi yang akan dilaksanakannya untuk gabungan, katanya beliau akan buat yang terbaik dan perjuangkan kita hak peniaga, penjaja.
“Kita rapatkan saf kepimpinan, ada yang berpecah-pecah, kita rapatkan balik kumpulan tu, cari titik persamaan,
buang perbezaan, lebih kepada konsep berjemaah.
“Kebaikan persatuan, segala peruntukan modal, suntikan modal sama ada pernigaaan, kursus, perjuangan, terus menjurus kepada mereka yang berpersatuan,” akhirinya.