PERBADANAN Putrajaya (PPj) mencipta sejarah baharu apabila menerima sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records (MBOR) selepas Tangga Putrajaya di Taman Putra Perdana Presint 1 diiktiraf sebagai The Longest Stairway In A Public Park.
Menurut Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, penghargaan tersebut merupakan permulaan baik PPj bagi tahun 2022.
“Alhamdulillah, saya mewakili warga PPj bangga apabila tangga ikonik Putrajaya berbentuk paksi lurus (axis) itu mendapat pengiktirafan dalam MBOR.
“Sejajar dengan usia 25 tahun Putrajaya, PPj sedang merancang untuk mewujudkan beberapa prasarana bercorak pelancongan rekreasi dan aktiviti riadah yang akan diumumkan nanti.
“Matlamat utama kita memperkenalkan pusat pentadbiran ini bukan sahaja di seluruh negara bahkan ke peringkat antarabangsa,” ujar beliau.
Mengulas lanjut tentang kelebihan tangga tersebut, Fadlun berkata, selain memiliki 250 anak tangga dan berketinggian 30 meter (m) serta memiliki jarak pendakian sejauh 200 meter, Tangga Putrajaya sesuai untuk dijadikan lokasi bersukan, beriadah dan rekreasi.
“Kelebihannya pengunjung dapat menikmati pemandangan indah Putrajaya dengan jarak yang lebih dekat dari atas puncak Taman Putra Perdana.
“Selain berfungsi sebagai salah satu akses masuk dan melengkapkan pembangunan Taman Putra Perdana, ia turut menghubungkan kawasan tumpuan pelawat iaitu dari Dataran Putra menuju ke Mercu Tanda dan ke Hotel Pulse Grande,” jelasnya.
Tambahnya, reka bentuk pembinaan tangga yang dihiasi jaluran pokok Tecoma yang menanti untuk berbunga secara serentak memberikan kesan warna merah jambu yang mempersonakan.
“Kiri kanan dan di tengah laluan tangga juga dihiasi pokok-pokok renek pelbagai warna dapat memberikan pemandangan menarik yang menjadikannya ikonik,” ujar beliau.
Terdahulu, Tangga Putrajaya mula dibina 10 Mei 2021, siap pada 5 Januari 2022 dan telah dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada 26 Januari 2022.
Sumber – WILAYAHKU