KUALA LUMPUR: Minggu keempat menyaksikan pertembungan diantara pasukan KL Thunder menentang Negeri Sembilan Antlers di kejohanan Emas Anuar STL 2021/2022 dan seperti dijangka KL Thunder berjaya menewaskan Negeri Sembilan Antlers dengan mata 2-0 (21-11, 21-13).
Sebelum perlawanan bermula, wartawan Wacana.my sempat menemubual jurulatih KL thunder, Rashidi Nordin, beliau memberitahu apit kanan Azlan Alias tidak dapat diturunkan akibat kecederaan ringan dan ini membuatkan beliau menyenaraikan Syahir, Amirul dan Hanafiah dollah pada perlawanan malam ini.
“Persiapan pasukan seperti biasa tetapi, Azlan mengalami sedikit kecederaan bahagian lengannya dan bukan kecederaan serius, kita hanya berikan latihan asas terlebih dahulu kepada Azlan dan terpaksa menurunkan Hanafiah terlebih dahulu untuk perlawanan kali ini
“Melihat sepanjang STL ni, Negeri Sembilan Antlers merupakan pasukan yang liat sikit, sebab bahagian pertahanan baik, serangan pula bervairasi kerana mempunyai dua tekong bahagian kiri dan kanan, jadi itu sedikit gangguan buat kami
“Saya melihat untuk bertemu dengan Negeri Sembilan Antlers ini, kita lebih perlu lebih kepada bahagian serangan, baru KL Thunder senang untuk mengumpul mata atau mencari kemenangan, kena bersiap sedia dan fokus daripada awal,” ujar jurulatih.
KL Thunder bermula dengan langkah kanan apabila set pertama KL Thunder mudah menewaskan Negeri Sembilan Antlers dengan keputusan 21-11.
Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, rentak permainan serta percaturan strategi yang dilakukan oleh KL Thunder nampaknya membuahkan hasil apabila segala hantaran yang dilakukan menjadi dan akhirnya berhasil membenamkan pasukan lawan dengan keputusan 21-13 di set kedua, sekali gus berjaya memenangi pada perlawanan kali ini.
Apit kanan KL Thunder, Hanfiah, berjaya mempamerkan aksi yang cemerlang ketika menentang Negeri Sembilan Antlers meskipun pada set kedua, dia mengalami kecederaan dan pelawanan terhenti selama 5 minit.
“Saya terlalu memaksa badan untuk serangan balas daripada pihak lawan dengan melakukan hantaran jadi badan saya tidak mampu untuk menampung beban dan tekanan ketika itu, jadi saya mengalami kecederaan kecil seperti nyilu, sengal badan selepas itu,” luah Hanafiah.
Menurut kapten KL Thunder, Amirul Zazwan, dia akui di set pertama menentang Negeri Sembilan Antlers, KL Thunder menang mudah apabila terdapat kesilapan kecil yang dilakukan oleh pihak lawan dan lantas telah menyumbang mata kepada KL Thunder.
“Alhamdulilah sebab kita menang perlawanan malam ini, tapi saya rasa, KL Thunder pada permulaanya ada perlahan namun telah bangkit dan perbaiki segala kelamahan yang ada
“Bagi saya, perlawanan malam ini, banyak kesilapan yang dilakukan oleh pihak lawan dan memberi mata kepada kami, tapi itu sudah cukup memadai untuk membuatkan KL Thunder menang malam ini, kata Amirul Zazwan