KUALA LUMPUR: Kejohanan Emas Anuar Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 malam tadi menyaksikan pertembungan pasukan KL Thunder menentang Penang Black Panther yang bertempat di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Hasil daripada pertembungan tersebut, Penang Black Panther telah berjaya meraih kemenangan dengan keputusan 2-1 (22-20 , 18-21 , 21-16) ke atas juara berganda STL 2020 KL Thunder.
KL Thunder yang menurunkan barisan terkuat mereka Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Muhammad, Amirul Zazwan.
Manakala Penang Black Panther pula, Faisal Mohd Fuad,Danial Baharin dan Zaim Razali.
Meskipun tidak berjaya memperolehi kemenangan malam ini, namun persembahan KL Thunder harus dipuji kerana memberikan saingan yang hebat dengan memberikan asakan pada setiap set permainan berlangsung.
Menurut jurulatih KL Thunder, Rashidi Nordin berkata, mereka telah menggunakan strategi dengan menurunkan pemain utama untuk beraksi pada malam ini, namun rezeki tidak berpihak kepada KL Thunder apabila kalah tipis dengan Penang Black Panther.
“Kalau ikutkan KL Thunder memang memerlukan kemenangan menentang Penang malam ini, kami cuba membuat strategi yang terbaik menurunkan pemain utama Syahir, Azlan dan Amirul, namun dibantu oleh Aizat selaku pemain simpanan,” ujar Rashidi Nordin.
Tambah Rashidi, dia berkata, pemain utamanya iaitu Syahir belum mempamerkan aksi yang memuaskan untuk aksi malam ini.
“Saya melihat Syahir belum lagi ditahap yang prestasi sebenarnya, dalam sesi latihan sebelum ini, selepas kita kalah kepada ATM, kami ada membuat ulangkaji dan latihan memperbaiki dari segi serangan
“Saya lihat pada minggu ini ada sedikit peningkatan tapi belum sampai prestasi yang kita hendaki, saya berdoa mudah-mudahan untuk perlawanan yang seterusnya Syahir akan bangkit dan kami akan mencapai kemenangan esok menentang Perak Bison
“Persembahan yang ditunjukkan pada malam ini sangat baik, namun saya melihat terdapat kesalahan kecil yang dilakukan oleh pemain, apabila kita mendapat untuk “point” tetapi disia-siakan melalui umpanan, “bloking” batal, jadi itu menyebabkan kita kehilangan mata-mata penting,” katanya.
Selain itu, Aizat yang diturunkan pada set kedua mengakui tekanan yang tinggi dirasai pada pertemuan malam ini.
“Apabila semua pemain meletakkan sasaran yang tinggi untuk menang bagi melayakkan ke peringkat seterusnya dalam kejohanan Emas Anuar Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022.
“Permainan malam ini memberikan tekanan pada kita kerana semua pemain ada sasaran untuk kalahkan pasukan KL Thunder yang dibarisi pemain Malaysia.
Pujian harus diberikan kepada Aizat serta Azlan kerana banyak membantu pasukan dalam memberikan saingan sengit dan mempamerkan corak permainan yang cemerlang.
Meskipun begitu, pemain harapan KL Thunder Syahir Rosdi memberikan sedikit kehampaan buat para penyokongnya kerana kurang mempamerkan aksi perlawanan yang baik serta terdapat beberapa kesalahan berlaku hingga pertukaran tekong terpaksa digantikan oleh Aizat.
“Menjelang pertemuan esok, kami akan perbaiki segala kelemahan dan kekurangan.Kami akan turun dengan semangat yang baharu, sebab sudah dua kali kami mengalami kekalahan,
“Paling penting saya dan Syahir kena perbaiki dari segi serangan untuk membawa pasukan mencapai kemenangan dan mencabar kedudukan teratas STL 2021/2022.
“Ini adalah adat permainan orang cakap, menang kalah, tapi corak persembahan itu yang kita nak lihat nanti,” perkongsian Aizat